Selamat bertugas kepada semua FasiLINUS. Di sini bicara ini akan membincangkan mengenai peranan Guru Pemulihan Khas (GPK) dalam merealisasikan matlamat LINUS. Terima kasih kepada semua FasiLINUS yang prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh GPK dalam melaksanakan pengurusan, pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran LINUS.
Semua sedia maklum, kursus secara formal untuk LINUS Tahun 1 dan 2 hanya dibuat kepada guru-guru Tahun 1 dan 2 sahaja. Tetapi jika kita melihat senario LINUS hari ini, GPK sebenarnya lebih memikul tanggungjawab berat untuk merealisasikan matlamat LINUS ini. Setelah diberikan murid LINUS Pemulihan dan GPK berjaya mengurangkan bilangan LINUS Pemulihan yang besar jumlahnya sebelum ini, kini GPK diamanahkan untuk 'mencelikkan' pula murid LINUS. Itu pun bergantung kepada jumlah murid LINUS Pemulihan yang sedikit.
Ada banyak sekolah pastinya murid LINUS Pemulihannya sudah tidak melebihi 5 orang. Jika ini berlaku, maka GPK tersebut dibolehkan mengambil murid LINUS yang mungkin jumlahnya kurang daripada 10 orang. Malah akan ada sekolah terutamanya sekolah kurang murid, guru Tahun 1 atau Tahun 2 hanya perlu mengajar murid arus perdana sahaja. Tanggungjawab 'mencelikkan' murid LINUS Pemulihan dan LINUS akan ditanggung oleh GPK.
Rata-rata GPK tidak mengeluh tentang senario ini. Mereka tahu tugas mereka. Cuma yang jadi sedikit halangan ialah mereka tidak pernah didedahkan cara mengendalikan saringan, sistem fail dan lain-lain lagi. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta BBM tidak menjadi masalah kepada GPK kerana mereka pakar dalam bidang ini.
Oleh itu, disarankan agar FasiLINUS dapat membantu GPK di sekolah-sekolah dengan memberikan sedikit lebihan masa untuk bersama membimbing mereka dalam aspek pentadbiran dan pengurusan. Curahkan ilmu yang FasiLINUS ada kepada GPK agar mereka tidak lagi dalam dilema. Walaupun semua guru Tahun 1 dan 2 telah berkursus berkaitan LINUS, ada juga yang diistilahkan 'dekat tapi jauh'. Maka FasiLINUS perlu memainkan peranan membantu GPK yang 'terputus bekalan' LINUS.
Terima kasih kepada semua FasiLINUS yang prihatin dengan masalah GPK dalam melaksanakan LINUS dan membawa perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab. Tahniah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan