9.11.10

ISU - TIADA KURSUS KEPADA PELAKSANA LINUS TEGAR


Hampir 90% guru-guru LINUS Tahun 2, 2011 telah mengikuti Kursus LINUS Tahun 2. Tahniah kepada yang telah terlibat dan kepada yang akan mengikuti kursus tersebut, bersedialah dengan ilmu yang secukupnya. Dalam usaha memberikan pendedahan kepada guru LINUS Tahun 2 tentang Modul Guru dan Murid LINUS Tahun 2, sama ada sedar atau tidak, ada satu kumpulan yang amat penting dalam menentukan berjaya atau gagal LINUS Tahun 3, 2012 iaitu guru-guru pemulihan khas yang merupakan pelaksana utama memulihkan LINUS Tegar terpinggir dari kursus tersebut.
Kita jangan melihat perkara ini secara negatif dan menyalahkan orang itu dan orang ini. Jalan mudah dan murah yang boleh kita ambil ialah semua guru LINUS Tahun 1 dan 2 yang telah tamat kursus LINUS mestilah memberikan kursus dalaman dalam masa terdekat ini dan pastikan kecairan maklumat diminimakan. 
FasiLINUS mestilah dimaklumkan tentang tarikh kursus dalaman di sekolah masing-masing bagi memberi ruang kepada FasiLINUS memberikan bimbingan yang diperlukan. Guru Pemulihan Khas mesti didedahkan dengan penggunaan Modul Guru dan Murid Tahun 1 dan 2. Ini merupakan modul utama dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran LINUS dan LINUS Tegar. Bersama-samalah kita memikirkan dan melaksanakan yang terbaik.  

PROJEK GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH MURID ORANG ASLI, PENAN DAN PRIBUMI

Projek gerak gempur ini sedang berjalan di Cameron Highland. Sebanyak 16 buah sekolah  terlibat dalam projek ini. Bermula 8 November dan berakhir 10 November 2010. Selepas ini, projek ini diteruskan di Kelang, Selangor pada 10-12 November 2010. Cabaran dalam melaksanakan projek gerak gempur ini amat tinggi.

26.10.10

SUASANA DALAM KELAS LINUS ORANG ASLI, PENAN DAN MASYARAKAT PRIBUMI

PROGRAM GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS ORANG ASLI, PENAN DAN MASYARAKAT PRIBUMI KINI DI MIRI, SARAWAK

Program Gerak Gempur ini kini di Miri mulai 25 Oktober hingga 27 Oktober 2010. Seramai 23 orang guru LINUS dan Pemulihan Khas telah didedahkan dengan pendekatan, strategi, teknik dan BBM bagi meningkatkan tahap celik huruf pelajar asli, penan dan masyarakat pribumi. Pada 27-30 Oktober ini pula gerak gempur ini diteruskan di Kota Kinabalu. Banyak pengalaman yang dapat ditimba melalui perkongsian pengalaman dengan guru-guru yang mengajar orang asli, penan dan masyarakat pribumi.

Sebelum ini program gerak gempur ini telah dijalankan di Ledang dan Kuantan. Di Ledang dan Kuantan, program ini disertai juga oleh Guru Besar-Guru Besar dari sekolah orang asli. Inilah usaha yang dapat dilakukan demi memastikan semua murid berhak celik huruf dan nombor. Pengalaman ini akan kita kongsi bersama melalui blog ini pada masa akan datang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

11.10.10

PROJEK GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH MURID ORANG ASLI, PENAN DAN PRIBUMI



Pada 10-13 Oktober, seramai 20 orang warga pendidikan telah berkampung di Hotel Nilai, Negeri Sembilan bagi menjalankan amanah membantu masyarakat orang asli, penan dan pribumi celik huruf melalui gerak gempur LINUS dan Pemulihan Khas. Gerak gempur ini diketuai oleh wakil BPKhas KPM, BPK, FasiLINUS dan Guru Pemulihan Khas. Perancangan melalui teknik, strategi, BBM, pengurusan dan teras telah dibincangkan secara serius dan teliti.

8.10.10

KURSUS PELAKSANAAN LATIHAN FASILINUS ZON SELATAN TAHUN 2010/2011

FASILINUS ZON SELATAN

Pada 4-7 Oktober lalu, seramai 130 orang FasiLINUS Zon Selatan (Johor,Melaka dan Negeri Sembilan telah berkursus di Hotel Everly, Melaka. Kursus ini telah banyak membantu FasiLINUS mengetahui bidang tugas dan peranan masing-masing. Selepas berkursus, FasiLINUS lebih berkeyakinan dan berilmu untuk melaksanakan agenda penting negara. Selamat bertugas dan laksanakan amanah secara ilmiah dan berhemah. Diharap selepas ini semua guru LINUS boleh mendapatkan bimbingan dan panduan FasiLINUS masing-masing. Diharap guru-guru LINUS menerima kedatangan FasiLINUS ke sekolah sebagai rakan pembimbing dan rakan yang sememangnya ingin membantu. FasiLINUS telah arif tentang tanggungjawab mereka ini. FasiLINUS ke sekolah sebagai menunaikan tanggungjawab yang berat bagi memastikan tiada murid buta huruf dan buta angka pada tahun 2013. Marilah kita (FasiLINUS dan guru-guru LINUS) amalkan BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING.

29.9.10

DOKUMENTASI

Berikut ialah dokumentasi yang perlu ada:

SEKOLAH:
1. Fail Induk
    - AJK Program LINUS
    - Minit curai
    - Laporan Kursus Dalaman
    - Minit mesyuarat
    - Takwim
    - Surat pekeliling LINUS- punca kuasa

2. Fail Keputusan Ujian
    - Borang Pelaporan Prestasi Individu Murid LINUS
    - Analisis keputusan ujian, peperiksaan dan saringan

3. Fail Maklumat Peribadi Murid LINUS
    - Borang Maklumat Peribadi Murid LINUS
      (dicetak dari Sistem Maklumat Murid)

4. Fail Bahan-bahan LINUS

PERANAN FASILINUS

Peranan FasiLINUS ini telah dibaca dan dinyatakan secara terperinci oleh Encik Mohd Nor bin A.Ghani, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPNJ pada 24 September 2010 di Bilik Mesyuarat Ibnu Sina, SMK Tinggi Kluang semasa Mesyuarat Pengurusan FasiLINUS Negeri Johor.
  1. Memastikan segala maklumat berkaitan Program LINUS sampai peringkat pelaksanaan di sekolah(contohnya melalui taklimat, edaran maklumat, email dan SMS)
  2. Menjalan dan menyelaras latihan-latihan 'on-site' bagi guru LINUS (micro teaching dalam kalangan guru-guru LINUS-dilaksanakan di peringkat sekolah/zon, bengkel modul LINUS dilaksanakan secara bersiri- mempertingkatkan penguasaan guru LINUS terhadap sesuatu modul, membina bahan bantu mengajar untuk guna sama- meningkatkan inovasi dan kreativiti serta kepelbagaian BBM= FASILINUS bina BBM untuk membimbing guru LINUS mengikut situasi sekolah)
  3. Membantu pihak sekolah secara langsung dalam merangka tindakan susulan berdasarkan masalah yang dikenal pasti dalam proses pengajaran dan pembelajaran (perbincangan bersama guru LINUS, menentukan pendekatan atau penggunaan modul yang bersesuaian untuk murid yang telah dikenal pasti).
  4. Membimbing dan memantau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran LINUS di sekolah (FasiLINUS akan bersama-sama dengan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam kelas).
  5. Memantau pelaksanaan LINUS (sistem fail, data murid LINUS, BBM, pengajaran dan pembelajaran)
  6. Memberi motivasi dan sokongan
  7. Mengumpul dan menganalisis data (keputusan Saringan 1,2 dan 3, data guru LINUS)
  8. Bekerjasama dengan Guru Pemulihan Khas untuk membantu murid yang dikategorikan sebagai murid LINUS Pemulihan.
  9. Mengesan sejauh mana sekolah dapat mengurus pelaksanaan program LINUS.
  10. Membantu dan membimbing pihak sekolah menyediakan pelan tindakan program LINUS.
  11. Menilai keberkesanan program LINUS terhadap pembelajaran murid.
  12. Menetapkan sasaran pengurangan bilangan murid LINUS selepas setiap saringan di sesebuah sekolah. 

TARIKH SARINGAN 3

Membaca/ Lisan - 1 September-15 Oktober 2010

Menulis              - 17-22 Oktober 2010

-Laksanakan saringan secara tidak formal.
-Fahamkan maksud soalan-soalan kepada murid.
  - terangkan kehendak soalan.
-Berikan peluang beberapa kali kepada murid.

22.9.10

SARINGAN 3

Perhatian kepada semua guru LINUS, untuk mendapatkan instrumen Saringan 3, sila berhubung dengan Pegawai Fasilinus di PPD masing-masing. Selamat melaksanakan Saringan 3 dan didoakan agar semuanya dalam keadaan selamat dan mencapai matlamat.

MESYUARAT PENGURUSAN FASILINUS NEGERI JOHOR

Seramai 65 orang Fasilinus negeri Johor akan terlibat dengan Mesyuarat Pengurusan Fasilinus bersama dengan Encik Mohd Nor bin A.Ghani, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPNJ. Mesyuarat tersebut akan diadakan mengikut ketetapan berikut:
Tarikh     : 24 September 2010 (Jumaat)
Tempat   : SMK Tinggi Kluang
Masa      : 8.00 pagi hingga 4.30 petang
Semua Fasilinus dikehendaki hadir ke mesyuarat tersebut.

3.9.10

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


SELAMAT HARI RAYA
AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

10.8.10

Bengkel Pemurnian Modul Pengajaraan dan Pembelajaran LINUS

Pada 9 Ogos 2010, bengkel tersebut telah diadakan di SK Ayer Hitam, Batu Pahat. Seramai 10 orang JU Literasi dan 10 orang JU Numerasi telah bertungkus lumus menyiapkan modul tersebut. Modul ini amat penting kepada semua guru LINUS kerana ianya lebih terarah kepada panduan dan bimbingan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pelbagai tahap. Modul ini akan disebarkan kepada semua guru LINUS melalui bengkel atau kursus yang akan diadakan di daerah masing-masing dalam masa terdekat. Terima kasih kepada pegawai-pegawai yang terbabit di Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang berusaha merealisasikan modul ini dihasilkan.

SARINGAN 3

Saringan 3 akan menyusul. Saringan 3 menulis akan dilaksanakan oleh guru-guru LINUS mulai 1 September hingga 18 September 2010. Saringan 3 membaca akan dijalankan dalam bulan Ogos ini dan arahan akan diberikan oleh LPM dalam masa terdekat ini. Semua instrumen belum diedarkan dan guru-guru LINUS dinasihatkan agar sentiasa berhubung dengan pegawai di PPD untuk maklumat terkini.

Bilangan Pelajar LINUS Pemulihan Selepas Saringan 2 (JOHOR)

Selepas selesai Saringan 2, bilangan pelajar LINUS Pemulihan (tegar) semakin berkurangan. TAHNIAH kepada semua guru LINUS yang telah bertungkus lumus menjalankan amanah walaupun dalam situasi serba kekurangan. Berikut ialah jumlah pelajar LINUS Pemulihan di negeri Johor selepas Saringan 2:
1. Literasi          ( 4,587 pelajar)
2. Numerasi      ( 1,543 pelajar)

LITERASI
LINUS Pemulihan - 8.4%
LINUS                 - 23.5%
Perdana                - 68.1%

NUMERASI
LINUS Pemulihan - 2.8%
LINUS                 - 19.5%
Perdana                - 77.7%

4.8.10

PENGHAYATAN RAMADHAN

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah mengfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.
Hadith ini dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa`ie daripada Abi Hurairah.
Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi S.A.W. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah, ayat 183:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

20.7.10

Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Linus 2010

FASILINUS BAHASA MELAYU DAN MATEMATIK NEGERI JOHOR


FASILINUS BAHASA MELAYU NEGERI JOHOR


FASILINUS MATEMATIK NEGERI JOHOR

Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Linus 2010

PEMBENTANGAN MODUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Fasilinus-fasilinus negeri Johor telah menunjukkan komitmen yang tinggi semasa bengkel ini. Ramai yang bersengkang mata untuk menghasilkan modul yang terbaik bagi membantu guru-guru Linus negeri Johor. Pengendalian bengkel ini dibantu oleh Guru Cemerlang dalam bidang ini yang kini telah bertugas sebagai Guru Besar SK Rawang, Muar. Terima kasih kepada Encik Sahardin bin Yusof.

19.7.10

Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Linus 2010

BENGKEL PEMBINAAN MODUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LINUS MATEMATIK

Bengkel Pembinaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Linus 2010

Pada 19 hingga 20 Julai 2010, semua Fasilinus Bahasa Melayu dan Matematik Negeri Johor berkampung di Hotel Pelangi, Muar untuk membina modul pengajaran dan pembelajaran. Bengkel ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk membantu memudahkan guru-guru Linus negeri Johor melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran Linus. Bengkel ini telah dikendalikan  oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

BENGKEL PEMBINAAN MODUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LINUS BAHASA MELAYU

14.7.10

Kekejaman Israel - Pembunuh Kanak-kanak Palestin

Ketika ini kanak-kanak Tahun 1 di negara kita 'berperang' untuk menguasai 3M, kanak-kanak sebaya mereka di Palestin pula berperang dengan kekejaman Yahudi Israel. Tayangan yang disertakan ini pastinya menjadi pedoman dan keinsafan untuk kita bersatu dan bekerjasama di bumi kita sendiri.

PENGISIAN LINUS - SARINGAN 2 (NKRA)

PENGISIAN LINUS - SARINGAN 2


 
Kepada Guru Besar,
Pengisian LINUS untuk saringan 2 akan bermula dari 12 - 24 Julai 2010. Harap maklum.

PERHATIAN :
1. Data hendaklah diisi mengikut jumlah murid bagi setiap kelas dalam aliran tahun 1, walaupun semuanya telah berada di aliran perdana (BUKAN HANYA YANG MENGAMBIL SARINGAN 2). Contoh, sekiranya dalam 1 kelas semuanya telah berada di aliran perdana maka tuliskan jumlah murid di dalam kelas tersebut di kotak aliran perdana. Sekiranya dalam kelas tersebut ada murid linus tegar, linus dan perdana, isikah jumlah murid mengikut konstruk yang berkaitan.
2. Jumlah bilangan murid harus JUMLAH SEBENAR yang ada dalam kelas tersebut.

Sila klik LAMAN WEB NKRA untuk mengisi data.

13.7.10

Terima kasih dan tahniah

Saringan 2 telah berlalu, terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua guru linus yang sejak mula hingga kini memerah keringat melaksanakan LINUS walaupun ada ketika kekaburan melanda pemikiran. Jika difikirkan masalah yang telah berlalu, sedang dihadapi dan yang akan melanda, pastinya terdetik keresahan. Semua ini dilalui oleh guru-guru Linus dengan sabar dan masih berusaha mencelikkan pelajar yang buta huruf. Tahniah kepada semua guru Linus yang masih yakin mampu melaksanakan program ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga usaha gigih guru-guru Linus akan dirahmati Allah. InsyaAllah.

21.6.10

SELAMAT BERTUGAS

Semua guru Linus pastinya sedang bertungkus lumus menjalankan amanah melaksanakan Saringan 2. Selamat bertugas semula.

27.5.10

Selamat Hari Wesak

SELAMAT MENYAMBUT HARI WESAK. Perayaan 1Malaysia.

19.5.10

Cadangan Kepada Bakal Fasilinus

Kita semua sedia maklum bahawa jawatan Fasilinus masih lagi tergantung dan belum pasti bilakah jawatan tersebut akan diwujudkan secara realiti. Hingga hari ini pelbagai keluh kesah telah diluahkan secara jujur oleh guru-guru Linus. Mereka bukan mengadu dumba tetapi hakikatnya memang ada yang terlalu memerlukan pertolongan dalam usaha melaksanakan Linus ini. Jaya atau gagal Linus ini sudah tentu diletakkan kepada guru-guru Linus untuk memikulnya. 'Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul'.

Di sini saya mencadangkan kepada bakal fasilinus yang telah mendapat latihan dan nama mereka telah dihantar ke KPM agar dapat membantu guru-guru Linus yang berhampiran sekolah atau kawasan kediaman sebagai satu latihan persediaan sebelum dilantik secara sah. Kerisauan yang bermain difikiran saya ialah mampukah Fasilinus menjadi pemudah cara kepada guru-guru Linus dalam situasi hari ini? Jadi sebelum 'segunung' tanggungjawab yang akan dipikul oleh Fasilinus, saya cadangkan 'refresh' ilmu tentang Linus amat penting. Bakal Fasilinus mesti melengkapkan semula diri mereka dengan ilmu yang telah mereka pelajari semasa kursus Fasilinus. Cara paling mudah ialah mulakan dengan membantu rakan-rakan di sekolah berhampiran atau kediaman berhampiran. Sekurang-kurangnya 'latihan amali' ini akan memberikan keyakinan kepada Fasilinus sebelum 'segunung' tanggungjawab hadir secara mengejut.

Cadangan saya ini bukan hendak mempertikaikan kewibawaan bakal Fasilinus tetapi 'sediakan payung sebelum hujan'. Fasilinus mesti bertanggungjawab sebagai pemudah cara, penunjuk cara, pakar rujuk dan lebih tepat lagi sebagai 'Pusat Sumber Linus Bergerak'. Situasi hari ini, ramai rakan Linus memerlukan bantuan Fasilinus. Saya bersedia membantu bakal Fasilinus sekiranya ada maklumat yang diperlukan atau memerlukan khidmat nasihat dalam membantu rakan-rakan yang berhampiran. 'Berlatih dahulu sebelum masuk padang'. Selamat Hari Guru.

14.5.10

SELAMAT HARI GURU - 16 MEI 2010










SELAMAT
HARI
GURU
GURU MELAHIRKAN PEMIMPIN NEGARA DULU, KINI DAN SELAMANYA.

22.4.10

Modul Numerasi

Sila klik untuk muat turun modul tersebut:

Modul Murid dan Guru Numerasi

19.4.10

MODUL MURID LITERASI

Klik untuk muat turun.

1.Modul Murid dan Guru Literasi

Modul terbaru ini dimuat naik semula kerana modul yang dimuat naik sebelum ini telah rosak.

16.4.10

Perkongsian Bahan LINUS

Memandangkan LINUS masih kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran, diharap rakan-rakan seperjuangan Tahun 1 dan Pemulihan Khas dapat berkongsi bahan yang telah dibina atau akan dibina. Bahan yang diperlukan ialah lembaran kerja, soalan-soalan menguji kemahiran, bahan aktiviti dan sebagainya yang berkaitan dengan Linus. Semua bahan sumbangan rakan-rakan bolehlah dihantar kepada saya melalui email: jgf9437@yahoo.com . Setiap bahan yang dihantar oleh rakan-rakan akan dipamerkan nama pemiliknya. Bersama-sama kita bantu membantu dalam mengatasi pelbagai masalah di peringkat awal Linus ini.

Menggubal Instrumen 2 LINUS

Selama 5 hari guru-guru Tahun 1 dan Pemulihan Khas yang terpilih telah berkumpul di Hotel Caterina, Batu Pahat, Johor mulai 12 April 2010 hingga 17 April 2010. Mereka berbincang dan menggubal instrumen Saringan Literasi dan Numerasi. Kita berharap Instrumen Saringan kali ini dapat memuaskan hati semua pihak.

7.4.10

Modul Guru dan Murid LINUS Literasi

Di atas permintaan ramai , di sini saya muat naik sekali lagi Modul Guru Dan Murid LINUS Literasi yang dibina oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Malaysia untuk digunakan sebagai panduan di dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Literasi Tahun 1 bermula April 2010 . Modul ini telah dimurnikan. Muat turun dan cetak ! Selamat berjaya.

6.4.10

Modul Guru Dan Murid LINUS Numerasi

Bersyukur kepada Allah kerana ada Hamba Allah yang telah poskan cd yang mengandungi modul guru dan murid LINUS Literasi kepada admin. Saya telah muat naik semua modul tersebut. Guru-guru boleh muat turun modul-modul tersebut yang telah dipaparkan di sebelah kanan blog ini. Terima kasih kepada Hamba Allah yang telah berusaha poskan cd tersebut melalui pos laju. Semoga usaha murni ini akan diberkati dan LINUS dapat berjalan dengan lancar dan berjaya. Kerjasama semua pihak pastinya akan membuahkan kecemerlangan dalam semua aspek. InsyaAllah.

5.4.10

Masalah Guru Linus Matematik


Assalamualaikum. Banyak soalan yang dikemukakan berkenaan kesukaran guru-guru LINUS Matematik mendapatkan bahan dan sumber rujukan bagi meneruskan usaha murni mereka melaksanakan program LINUS. Guru-guru Matematik ini sebenarnya telah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan misi negara ini. Tahniah kepada guru-guru LINUS yang terbaik ini.
Sebagai orang yang terlibat dengan LINUS sejak permulaan membina modul (Modul Literasi), saya dapati Matematik menghadapi sedikit masalah sebab mata pelajaran ini tidak terlibat dari awal dalam KIA2M. Mata pelajaran Bahasa Malaysia sememangnya banyak sumber rujukan.
Atas rasa bertanggungjawab melaksanakan misi negara, saya sedang sedaya upaya menghubungi rakan-rakan JU Pusat LINUS Matematik bagi mengumpul bahan dan rujukan. Di sini saya merayu sekiranya JU Pusat atau Fasilinus Numerasi memiliki bahan yang boleh dikongsi, sila emailkan kepada saya untuk dimuat naik dan bersama-sama berkongsi dengan rakan-rakan lain yang begitu jujur untuk melaksanakan misi negara ini.
Untuk pengetahuan semua, Fasilinus yang dijanjikan di setiap PPD masih belum ada lantikan lagi. Apa masalahnya saya tidak dapat huraikan di sini. Segala permasalahan bolehlah dirujuk kepada pegawai di PPD atau melalui saya sendiri. Saya akan cuba sedaya upaya membantu. Teruskan usaha murni cikgu. Terima kasih.

30.3.10

Senarai Kemahiran LINUS Literasi

Sekali lagi diupload senarai kemahiran ini untuk memudahkan guru-guru LINUS Literasi memulakan pengajaran dan pembelajaran.

Senarai Kemahiran LINUS Literasi

Tarikh Akhir Data Online NKRA


Maklumat terkini yang saya dapat dari NKRA, tarikh akhir memasukkan data LINUS ialah 31 Mac 2010. Sekiranya masih ada lagi sekolah yang tidak memasukkan data tersebut, sila ambil tindakan segera.

22.3.10

Masukkan Data Saringan 1 LINUS Melalui Online

Semua guru LINUS boleh mengisi data Saringan 1 LINUS secara online melalui alamat berikut :
http://www.moe.gov.my/nkra/
1. Sila ke bahagian kanan web, tertera bahagian Akses Pengguna:
    ID Pengguna - Isikan   LINUSkod sekolah
    Contoh : LINUSJBT4112

   Katalaluan
   12345678 (katalaluan ini boleh ditukar selepas anda mengisi maklumat data LINUS)

2. Klik login

3. Anda akan masuk ke laman pengisian data Literasi dan Numerasi.

4. Sila ikut arahan yang diberikan. Pastikan anda klik pada ikon yang betul.

5. Setelah semua pengisian dan kemaskini dibuat, sila klik pada butang simpan.


Selamat mencuba dan berjaya mengisi data dengan tepat.

10.3.10

Bahan LINUS Numerasi

Ramai guru Tahun 1 Matematik meminta saya untuk memuat naik bahan-bahan Numerasi. Saya telah berusaha untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut. Di sini ada sedikit bahan Numerasi yang dapat saya kumpulkan. InsyaAllah ada kesempatan saya akan dapatkan lagi bahan-bahan Numerasi. Sila klik tajuk di atas untuk muat turun bahan Numerasi. Harap ianya dapat membantu guru-guru LINUS Numerasi.

Borang Laporan Saringan 1 LINUS

Di sini juga dimuat naik Borang Laporan Prestasi Saringan 1 Literasi dan Numerasi. Borang Laporan Prestasi Saringan 1 Literasi pada Sheet 1. Borang Laporan Prestasi Saringan 1 Numerasi pada Sheet 2. Sila klik tajuk di atas untuk muat turun. Lengkapkan semua borang ini dan hantar segera ke PPD masing-masing. Selamat bertugas.

Borang Prestasi Individu Literasi

Di sini saya muat naik semula Borang Prestasi Individu. Sila klik tajuk di atas untuk muat turun Borang Prestasi Individu Literasi.

9.3.10

Manual Saringan 1

Salam. Setelah berakhir Saringan 1 minggu lalu, saya dihujani dengan pelbagai pertanyaan terutamanya melalui panggilan telefon, sms dan email mengenai penentuan menguasai atau tidak menguasai, masalah mengisi borang prestasi individu, bila mesti hantar borang tersebut dan kepada siapa.
Rakan-rakan yang dikasihi sekelian, sila baca dengan teliti manual saringan 1. Dalam manual itu telah lengkap penjelasannya. Mengenai penghantaran borang keputusan Saringan 1, sila rujuk kepada Fasilinus daerah masing-masing atau terus merujuk kepada Pegawai Penyelia Bahasa atau Pegawai Penyelia Matematik di PPD masing-masing. Sekiranya guru-guru telah berjaya menyiapkan semua borang, sebaiknya hantar terus ke PPD secepat mungkin. Terima kasih kepada semua guru Tahun 1 yang telah berjaya mengurus dan mentadbir instrumen Saringan 1. Tahniah.

Modul Murid - Unit 7

Klik tajuk di atas untuk muat turun.

Modul Murid - Unit 6

Klik tajuk di atas untuk muat turun.

Modul Murid - Unit 5

Sila klik tajuk di atas untuk memuat turun Modul Murid. Guru-guru Linus Tahun 1 boleh jadikan contoh Modul Murid ini sebagai panduan atau bahan tambahan yang boleh membantu guru-guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

4.3.10

Gambar Kenangan Kursus LINUS Literasi Negeri Johor

Tahniah kepada semua guru LINUS Literasi negeri Johor yang telah menyertai Kursus LINUS Literasi. Kursus tersebut bermula 18 Januari 2010 hingga 24 Februari 2010. Kursus-kursus tersebut telah diadakan di empat daerah iaitu Batu Pahat, Mersing, Johor Bahru dan Muar. Pelbagai aktiviti kreatif telah dibuat oleh para peserta sepanjang kursus tersebut diadakan. Ini menandakan satu petanda bahawa LINUS yang sedang dilaksanakan sekarang akan memberikan impak positif. Tahniah kepada semua yang terlibat. Kepada Fasilinus, tanamkan tekad untuk bekerja lebih kuat agar matlamat dan objektif LINUS terlaksana dengan cemerlang. Terima kasih kepada semua pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Johor yang bersama-sama turun padang di semua tempat kursus diadakan dan bersama-sama menyelesaikan masalah yang timbul.
Teraju utama LINUS Literasi Negeri Johor, Pn. Hajjah Maimunah bt Samat

Joget lambak...antara aktiviti yang dibuat. Aktiviti di Mersing

Guru Linus Hebat... membentuk huruf Z. Aktiviti di Muar

Tekun berbincang...... aktiviti di Muar
Auumm...cakkkk..... aktiviti kreatif di Johor Bahru

Kreatif.... aktiviti di Johor Bahru
Tiup bang...tiup kak... aktiviti di Batu Pahat

3.3.10

Salam. Bertemu semula semua guru LINUS Literasi. Masih ramai guru yang masih kabur tentang markah menguasai atau tidak menguasai. Pada catatan Borang Prestasi Individu, saya ada upload borang markah Saringan 1, Saringan 2 dan Saringan 3. Pada borang Saringan 1 telah dicatatkan pada Kolum Syarat Minimum Penguasaan Membaca dan Menulis yang ada tercatat 5/5, 8/10, 4/5, 3/4, 1/2 diikuti kolum Saringan 1 yang tercatat /5, /10, /5, /4, /2. Kolum ini cikgu-cikgu kena isi markah yang diperoleh pelajar. Kalau pada kolum 1 syarat minimumnya 4/5, pelajar hanya dapat 3/5 maka pelajar tersebut tidak menguasai. Begitulah seterusnya. Pada kolum ketiga cikgu-cikgu cuma isikan menguasai atau tidak menguasai. Sekiranya ada pelajar menguasai konstruk 1-4, tidak menguasai konstruk 5 dan 6 tetapi menguasai konstruk 7-12, pelajar ini tidak menguasai konstruk dan dikategorikan sebagai pelajar Linus. Saya harap rakan-rakan guru dapat memahami penerangan ini dan Selamat Bertugas. Guru Linus sememangnya GURU TERBAIK.

25.2.10

Borang Prestasi Individu Literasi

Di sini dilampirkan Borang Prestasi Individu Literasi . Sila klik tajuk di atas. Untuk pengetahuan semua, pengisian data secara online belum dimuktamadkan lagi. Difahamkan dalam masa terdekat ini, perisian data tersebut dalam proses akhir untuk disiapkan. Selamat menguruskan instrumen saringan 1.

23.2.10

Kursus LINUS Bahasa Malaysia di Hotel Seri Malaysia Mersing



Selamat berkursus kepada semua guru Tahun 1 daerah Mersing dan Kota Tinggi. Kursus Linus ini melibatkan guru-guru Tahun 1 daerah Mersing dan Kota Tinggi. Kursus ini bermula 22 Februari dan berakhir pada 24 Februari 2010.

19.2.10

Kursus LINUS di Johor bersambung.

Pada 22-24 Februari 2010, kursus LINUS guru-guru Tahun1 di negeri Johor bersambung semula. Ianya merupakan kohot terakhir sebelum LINUS dilaksanakan. Selamat mengendalikan saringan membaca kepada semua guru Literasi. Mulai 1-5 Mac nanti, saringan 1 (bertulis) akan dilaksanakan. Semua guru LINUS telah pun mendapat manual saringan 1 tersebut. Selamat menjalankan tugas guru LINUS dan selamat berkursus.

12.2.10

Kursus Literasi Di Hotel Sri Malaysia Johor Bahru

Aktiviti bengkel
Mendengar panduan yang diberikan oleh Jurulatih Utama
Aktiviti bengkel
Menjalankan aktiviti

Kursus LINUS Literasi di Hotel Sri Malaysia Johor Bahru yang melibatkan guru-guru Tahun 1 dari daerah Johor Bahru dan Pontian telah diadakan pada 10-12 Februari 2010. Semua peserta didedahkan dengan semua aspek yang berkaitan dengan LINUS. Setakat ini semua peserta telah menunjukkan respon yang baik.

3.2.10

Kursus Linus di Hotel Sri Malaysia Mersing

Setelah tiga hari berkursus, semua peserta telah menunjukkan tanda positif untuk membawa hala tuju LINUS mencapai matlamatnya. Pelbagai maklumat dan pendedahan aktiviti yang diadakan dapat membina keyakinan diri guru-guru Tahun 1. Mereka juga telah menunjukkan kreativiti melalui aktiviti bengkel. Tahniah dan yakin selepas September 2012, semua pelajar telah celik huruf.