14.12.09

MESTI BERSEDIA



Menanti detik 18 Januari 2010 bukannya lama. Dalam sekelip mata kita sudah sampai ke tarikh keramat tersebut. Bermula 18 Januari 2010, dijangka seramai 16,000 orang guru Tahun 1 akan menjalani Kursus LINUS di seluruh negara secara berperingkat-peringkat. Pada 7-10 Disember 2009 yang lalu, Fasilinus Kebangsaan telah melatih Fasilinus Negeri di enam zon seluruh negara.
Sekadar hendak mengingatkan semula, kita antara guru yang bertuah kerana dikategorikan sebagai guru terawal yang pastinya tercatat dalam sejarah pendidikan negara penggerak satu misi negara dalam melaksanakan KPI Menteri Pelajaran Malaysia. Tugas utama kita ialah melatih guru-guru melaksanakan LINUS, menggerakkan, membimbing, memandu dan pemudah cara.
Hasil yang diperlukan ialah mengatasi masalah buta huruf bagi literasi dan masalah buta nombor bagi numerasi. Fasilinus Negeri yang telah diberikan latihan pada 7-10 Disember lalu, tidak dapat lari daripada realiti iaitu mesti menguasai semua kemahiran yang ada dalam aktiviti modul latihan guru, modul guru dan modul murid. Semua ini memerlukan pengorbanan masa yang bukan sedikit malah ianya mungkin mengambil dua pertiga daripada cuti Fasilinus.
Jangan sesekali mengeluh. Jangan sesekali menyesal. Berbanggalah dengan diri sendiri yang boleh meletakkan diri kita sebagai pejuang sejati untuk negara sebaris dengan pejuang-pejuang negara yang lain. Bayangkan , pada akhir 2012 nanti, tiada lagi murid yang buta huruf dan buta nombor. Perjuangan kita untuk negara berjaya dan kita ialah antara individu yang pastinya mencatat nama dalam sejarah pendidikan negara yang menjadi tatapan cucu cicit pada masa akan datang.
Kesimpulannya, jaya atau gagal misi nasional ini terletak kepada diri kita. Selamat mentelaah, menguasai dan mempraktikkan ketiga-tiga modul tersebut. Jangan lupa, sentiasalah memohon rahmatNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan