9.11.10

ISU - TIADA KURSUS KEPADA PELAKSANA LINUS TEGAR


Hampir 90% guru-guru LINUS Tahun 2, 2011 telah mengikuti Kursus LINUS Tahun 2. Tahniah kepada yang telah terlibat dan kepada yang akan mengikuti kursus tersebut, bersedialah dengan ilmu yang secukupnya. Dalam usaha memberikan pendedahan kepada guru LINUS Tahun 2 tentang Modul Guru dan Murid LINUS Tahun 2, sama ada sedar atau tidak, ada satu kumpulan yang amat penting dalam menentukan berjaya atau gagal LINUS Tahun 3, 2012 iaitu guru-guru pemulihan khas yang merupakan pelaksana utama memulihkan LINUS Tegar terpinggir dari kursus tersebut.
Kita jangan melihat perkara ini secara negatif dan menyalahkan orang itu dan orang ini. Jalan mudah dan murah yang boleh kita ambil ialah semua guru LINUS Tahun 1 dan 2 yang telah tamat kursus LINUS mestilah memberikan kursus dalaman dalam masa terdekat ini dan pastikan kecairan maklumat diminimakan. 
FasiLINUS mestilah dimaklumkan tentang tarikh kursus dalaman di sekolah masing-masing bagi memberi ruang kepada FasiLINUS memberikan bimbingan yang diperlukan. Guru Pemulihan Khas mesti didedahkan dengan penggunaan Modul Guru dan Murid Tahun 1 dan 2. Ini merupakan modul utama dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran LINUS dan LINUS Tegar. Bersama-samalah kita memikirkan dan melaksanakan yang terbaik.  

PROJEK GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH MURID ORANG ASLI, PENAN DAN PRIBUMI

Projek gerak gempur ini sedang berjalan di Cameron Highland. Sebanyak 16 buah sekolah  terlibat dalam projek ini. Bermula 8 November dan berakhir 10 November 2010. Selepas ini, projek ini diteruskan di Kelang, Selangor pada 10-12 November 2010. Cabaran dalam melaksanakan projek gerak gempur ini amat tinggi.

26.10.10

SUASANA DALAM KELAS LINUS ORANG ASLI, PENAN DAN MASYARAKAT PRIBUMI

PROGRAM GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS ORANG ASLI, PENAN DAN MASYARAKAT PRIBUMI KINI DI MIRI, SARAWAK

Program Gerak Gempur ini kini di Miri mulai 25 Oktober hingga 27 Oktober 2010. Seramai 23 orang guru LINUS dan Pemulihan Khas telah didedahkan dengan pendekatan, strategi, teknik dan BBM bagi meningkatkan tahap celik huruf pelajar asli, penan dan masyarakat pribumi. Pada 27-30 Oktober ini pula gerak gempur ini diteruskan di Kota Kinabalu. Banyak pengalaman yang dapat ditimba melalui perkongsian pengalaman dengan guru-guru yang mengajar orang asli, penan dan masyarakat pribumi.

Sebelum ini program gerak gempur ini telah dijalankan di Ledang dan Kuantan. Di Ledang dan Kuantan, program ini disertai juga oleh Guru Besar-Guru Besar dari sekolah orang asli. Inilah usaha yang dapat dilakukan demi memastikan semua murid berhak celik huruf dan nombor. Pengalaman ini akan kita kongsi bersama melalui blog ini pada masa akan datang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

11.10.10

PROJEK GERAK GEMPUR LINUS DAN PEMULIHAN KHAS DI SEKOLAH MURID ORANG ASLI, PENAN DAN PRIBUMI



Pada 10-13 Oktober, seramai 20 orang warga pendidikan telah berkampung di Hotel Nilai, Negeri Sembilan bagi menjalankan amanah membantu masyarakat orang asli, penan dan pribumi celik huruf melalui gerak gempur LINUS dan Pemulihan Khas. Gerak gempur ini diketuai oleh wakil BPKhas KPM, BPK, FasiLINUS dan Guru Pemulihan Khas. Perancangan melalui teknik, strategi, BBM, pengurusan dan teras telah dibincangkan secara serius dan teliti.

8.10.10

KURSUS PELAKSANAAN LATIHAN FASILINUS ZON SELATAN TAHUN 2010/2011

FASILINUS ZON SELATAN

Pada 4-7 Oktober lalu, seramai 130 orang FasiLINUS Zon Selatan (Johor,Melaka dan Negeri Sembilan telah berkursus di Hotel Everly, Melaka. Kursus ini telah banyak membantu FasiLINUS mengetahui bidang tugas dan peranan masing-masing. Selepas berkursus, FasiLINUS lebih berkeyakinan dan berilmu untuk melaksanakan agenda penting negara. Selamat bertugas dan laksanakan amanah secara ilmiah dan berhemah. Diharap selepas ini semua guru LINUS boleh mendapatkan bimbingan dan panduan FasiLINUS masing-masing. Diharap guru-guru LINUS menerima kedatangan FasiLINUS ke sekolah sebagai rakan pembimbing dan rakan yang sememangnya ingin membantu. FasiLINUS telah arif tentang tanggungjawab mereka ini. FasiLINUS ke sekolah sebagai menunaikan tanggungjawab yang berat bagi memastikan tiada murid buta huruf dan buta angka pada tahun 2013. Marilah kita (FasiLINUS dan guru-guru LINUS) amalkan BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING.

29.9.10

DOKUMENTASI

Berikut ialah dokumentasi yang perlu ada:

SEKOLAH:
1. Fail Induk
    - AJK Program LINUS
    - Minit curai
    - Laporan Kursus Dalaman
    - Minit mesyuarat
    - Takwim
    - Surat pekeliling LINUS- punca kuasa

2. Fail Keputusan Ujian
    - Borang Pelaporan Prestasi Individu Murid LINUS
    - Analisis keputusan ujian, peperiksaan dan saringan

3. Fail Maklumat Peribadi Murid LINUS
    - Borang Maklumat Peribadi Murid LINUS
      (dicetak dari Sistem Maklumat Murid)

4. Fail Bahan-bahan LINUS